Pelajar Bertanggungjawab Membina Hubungan Indonesia-Malaysia


Hubungan diplomatik antara negara Indonesia dan Malaysia sentiasa dijaga oleh kerajaan masing-masing sehingga sekarang.

Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua negara yang telah merdeka selama lebih dari 50 tahun ini banyak memiliki persamaan dan oleh itu sering disebut serumpun.

Namun, kata serumpun itulah yang justeru menjadi punca timbulnya pelbagai kontroversi yang selama ini terjadi di kedua-dua buah negara.

Sejarah mengatakan bahawa sememangnya terjadi perkongsian budaya (pakaian, alat muzik, tarian), makanan, bahasa dan agama antara Indonesia dan Malaysia kerana dahulu kedua-dua negara ini berada dalam satu kawasan yang luas bernama nusantara.

Perkongsian tersebut pula yang akhirnya menimbulkan beberapa isu mengenai hak milik beberapa tradisi budaya seperti lagu Rasa Sayange dan Tarian Reog Ponorogo (di Malaysia disebut Tarian Barongan) yang sempat hangat di kedua-dua negara beberapa waktu yang lalu.

Isu tersebut hanya merupakan sebahagian contoh daripada isu-isu lain yang lebih besar yang melanda kedua-dua negara seperti isu keselamatan tenaga kerja asing, isu jenayah yang dilakukan oleh tenaga kerja asing, isu pelajar asing, hingga isu hak milik beberapa pulau kecil di antara kawasan perairan Indonesia dan Malaysia.

Kembali pada isu budaya, adalah sangat sukar untuk menentukan siapa yang telah menciplak siapa kerana faktor perkongsian tadi.

Seiring waktu berjalan, masyarakat perlahan lupa dengan isu budaya ini. Jika nanti media kembali melaporkan kes baru mengenai ciplak budaya, masyarakat kembali mula sedar dan kontroversi pun tidak dapat dihindarkan.

Hal ini tentunya akan mengakibatkan imej kedua-dua negara terjejas. Imej Malaysia akan semakin teruk di mata masyarakat Indonesia dan begitu pula sebaliknya.

Lalu mahu sampai bila kedua-dua negara terus berselisih faham?

Jika imej adalah segala-galanya, maka setiap pelajar Indonesia di Malaysia secara tidak langsung bertanggungjawab untuk memelihara tingkah laku dan senantiasa menjaga budi bahasa demi menjaga imej Indonesia di mata masyarakat Malaysia. Begitu pula dengan pelajar Malaysia di Indonesia.

Bernama menyebutkan bahawa ada sekitar 4,600 pelajar Malaysia di seluruh Indonesia. Sementara itu Duta Besar Indonesia untuk Malaysia Tan Sri Da’i Bachtiar menyebut bahawa kini terdapat sekitar 14,000 pelajar Indonesia di seluruh wilayah Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).

Lalu mengapa hanya pelajar sahaja yang bertanggungjawab? Bukankah penduduk Indonesia yang berada di Malaysia juga banyak yang merupakan buruh kerja dan ekspatriat?

Sebagai golongan yang berpendidikan, pelajar dituntut memiliki tanggung jawab yang ’lebih’ daripada golongan lainnya.

Banyak yang boleh pelajar lakukan untuk menjaga imej negara masing-masing misalnya berprestasi dalam bidang akademik, mengadakan acara budaya sebagai soft diplomacy, atau dengan sekadar berbudi bahasa yang baik; apa-apa sahaja perbuatan yang boleh memberikan imej yang positif kepada masyarakat.

Selain mengejar kejayaan cemerlang dalam bidang akademik, pelajar di masing-masing negara diharap dapat menjadi duta bangsa yang akan mempertingkatkan lagi persefahaman antara rakyat kedua-dua negara dan sekaligus mengelakkan kekeliruan yang boleh menimbulkan isu dalam hubungan dua hala.

Seperti yang biasa disebut oleh masyarakat Indonesia bahawa Malaysia adalah negeri jiran (negara tetangga). Oleh itu, bukankah akan sangat tidak selesa hidup ini jika setiap hari kita selalu bergaduh dengan jiran sendiri?

Walau bagaimanapun, kawasan kedua-dua negara (Indonesia dan Malaysia) tidak dapat dipisahkan lagi. Indonesia tidak mungkin ‘dipindahkan’ ke lain tempat dan begitu pula kawasan negara Malaysia.

Di bahu pelajarlah terletak tanggung jawab membina hubungan Indonesia-Malaysia menuju keharmonian dan kerukunan pada masa hadapan dengan lebih bijaksana.

[aman damai. 3 September 2008]

[09.05 am]


About this entry